Wednesday, June 17, 2009

Saya memang ada sayang seseorang

Source: Here

Saya memang ada sayang seseorang - Ella

Ella mempersembahkan tiga buah lagu pada majlis pelancaran album kompilasinya itu - foto THE STAR oleh SHAARI CHEMAT

KIRA-KIRA dua tahun lalu, Ratu Rock Negara ini pernah membuat pengakuan di majlis pelancaran albumnya, Rama-Rama, bahawa hatinya sudah dimiliki seseorang dan berhasrat untuk mendirikan rumahtangga pada tarikh 31 Julai 2007 bersempena dengan hari lahirnya yang ke-41 ketika itu.

Tahun silih berganti dan bulan hadapan, Ella atau nama sebenarnya Norzila Aminuddin akan menginjak usia 43 tahun. Dan nampaknya, kisah cintanya itu juga terus 'lenyap' begitu saja. Malah selepas itu penyanyi ini juga dilihat lebih gemar mengelak daripada berbicara tentang cinta apabila subjek itu diajukan oleh media.

Walaupun ada juga suara-suara nakal sebelum ini yang merasakan kisah cinta Ella itu sebenarnya adalah 'gimik' yang akan dibuat setiap kali munculnya album baru penyanyi itu, namun bagi tuan empunya diri, dia tidak pernah terfikir sehingga ke tahap itu.

Mungkin juga kerana tidak mahu terus dilempar dengan pelbagai tohmahan lain, Ella akhirnya lebih selesa untuk tidak terlalu memperkatakan lagi tentang hubungan cintanya.

Namun, ketika ditemui pada majlis pelancaran album kompilasinya, Ella-The Greatest Hits, di Bangkok Jazz, Kuala Lumpur semalam, penyanyi yang telah tiga dekad mengabdikan diri sebagai anak seni ini tetap tidak terlepas diajukan tentang cinta dan perkahwinan.

Ella hanya tersenyum manja tatkala subjek itu 'ditimbulkan' semula. Sesekali, Ella cuba juga menepis soalan-soalan 'cepumas' itu, namun begitu, penyanyi ini tidak keberatan berkongsi tentang 'statusnya' ketika ini.

"Memang saya ada sayang seseorang. Dia tiada kena-mengena dengan industri hiburan, tapi dia memang meminati muzik," luah Ella, ringkas.

Ditanya adakah orang yang berjaya mencuri hatinya itu masih merupakan lelakiyang sama pernah diceritakannya dua tahun lalu, sambil tersenyum dia hanya menjawab:

"Insya-Allah bila masanya tiba, saya akan bagitahu. Bukan sengaja nak berahsia, tapi saya rasa bukan sekarang untuk bercakap tentang ini.

Ella-The Greatest Hits menampilkan 32 buah lagu-lagu hebat Ella ketika bersama Warner Music dan EMI

"Saya perlu 'respect' keluarga dia dan saya juga. Lagipun rezeki, ajal maut ditentukan Tuhan, jika ada nanti, adalah," ujarnya.

Diajukan soalan tentang perancangannya untuk mendirikan rumahtangga, tutur Ella, dia belum terfikir untuk berbuat demikian dalam masa terdekat ini.

"Bukannya saya takut dengan perkahwinan. Sudah tentu kalau boleh saya nak kahwin secepat mungkin. Tapi ini semua Tuhan yang tentukan," katanya.

Ella-The Greatest Hits sebagai 'pemanas'

Bagi peminat-peminat setia otai rock wanita ini, pastinya kemunculan album kompilasi Ella-The Greatest Hits yang menggabungkan lagu-lagu terbaiknya selama lebih dua dekad ini amat dinanti-nantikan.

Album yang telah mula berada di pasaran sejak 14 Mei lalu menampilkan 32 buah lagu-lagu hebat Ella ketika bersama Warner Music dan EMI termasuklah tiga buah lagu baru yang juga mendapat sentuhan komposer baru, Amir, iaitu Puisi Hamba, Jiwa Setia dan Mencari.

Antara lagu-lagu hits Ella yang dimuatkan dalam album kompilasi ini ialah Layar Impian, Permata Biru, Sembilu, Sepi Sekuntum Mawar merah, Gemilang, Kesal dan Dua Insan Bercinta.

Menurut Ella, album kompilasi ini dihasilkan sebagai 'pemanas' sementara menantikan album penuh terbarunya siap dalam tahun ini juga.

"Album kompilasi ini saya anggap sebagai 'teaser' untuk album baru. Tiga buah lagu baru yang dimuatkan dalam album ini juga nanti akan turut dimasukkan dalam album terbaru saya nanti.

"Buat masa ini, album tersebut sudah siap sebanyak 40 peratus. Enam buah lagu juga sudah dirakamkan.

"Amir juga akan turut bekerjasama dengan saya di dalam album terbaru saya. Mungkin akan ada satu atau dua buah lagu ciptaan saya sendiri juga," kata Ella yang menyifatkan album barunya itu lebih 'rock and roll' dan 'groovy'.

Ditanya mengapa dia menggunakan khidmat komposer baru, Amir sebagai produser, kata Ella, dia merasakan 'chemistry' antara mereka cukup baik dan senang bekerjasama antara satu sama lain.

"Saya suka bekerja dengan orang yang ada 'chemistry' dengan saya. Sebab itu saya tetap memberi peluang kepada mereka yang tidak mempunyai nama besar dalam indutsri ini.

"Malah, saya tidak kisah bekerja dengan mana-mana artis baru jika memang wujudnya 'chemistry' antara kami," katanya.

Ditanya tentang perancangan lain terhadap karier seninya yang masih utuh itu, kata Ella, dia juga ada menyimpan impian untuk mengadakan konsert atau 'showcase' untuk peminat-peminatnya.

"Perkara ini masih lagi di dalam perancangan. Saya sendiri tidak tahu sama ada akan dibuat 'tour' untuk konsert atau 'showcase' kerana perkara ini diuruskan oleh syarikat rakaman, Warner Music.

"Tapi apa yang pasti, saya memang teringin untuk kembali beraksi di hadapan peminat-peminat," tuturnya dalam nada ceria.

Menjadi salah seorang penyanyi senior yang mampu bertahan sehingga hari ini, Ella turut menyuarakan pandangannya terhadap industri muzik tanahair yang kini semakin dipenuhi oleh muka-muka baru.

"Setakat ini saya lihat, ramai juga artis-artis baru yang bagus. Industri ini bukan setakat untuk glamor. Asalkan kita jujur dengan apa yang kita buat dan masih mendapat sokonga peminat, pastinya kita mampu bertahan lama dalam industri," kata Ella.

No comments:

Post a Comment