Wednesday, June 17, 2009

Ella Kembali Dengan Puisi Hamba

Source: Here



Teks oleh Ellyna Ali


KUALA LUMPUR, 12 JUN 2009:
Dengan pengalaman menyanyi yang hebat, Ratu Rock Malaysia, Ella, tahu bila masanya dia patut muncul semula. Kali terakhir Ella mendapat perhatian peminat adalah menerusi lagu solonya, Rama-Rama. Populariti lagu itu memang jelas kerana ia sering menjadi pilihan untuk dinyanyikan oleh pelbagai lapisan kaum dalam pertandingan nyanyian di sana-sani.

Hari ini nama Ella akan menjadi sebutan semula. Buah tangan terbarunya adalah sebuah album kompilasi terbaru dengan 3 lagu ciptaan terbaru. Lagu itu ialah Puisi Hamba, Jiwa Setia dan Mencari. Ella Greatest Hits yang kini sudah pun berada di pasaran mengumpulkan lagu hits Ella seperti Layar Impian, Sembilu, Sepi Sekuntum Mawar Merah, Tiada Tangis Lagi, Permata Pemotong Permata, Permata Biru dan Dua Insan Bercinta.

"Projek membuat album kompilasi bersama 3 lagu baru ini telah diilhamkan Pengurus Artis & Repertoire EMI Malaysia, Allahyarham Encik Mohd Arzmy, sewaktu EMI masih wujud lagi. Tapi, apabila EMI ditutup, saya berpindah ke oleh Warner Music pula.

"Bagi saya ketiga-tiga lagu baru ini telah ditulis oleh pencipta lagu yang baru dan hasilnya membuatkan saya cukup gembira kerana baik ia mempunyai melodi dan liriknya menepati jiwa saya.

"Dalam lagu Puisi Hamba misalnya ia mengisahkan tentang pemergian seseorang yang akan meninggalkan seseorang yang disayanginya tapi pasa masa yang sama dia berharap satu hari nanti mereka akan berjumpa semula.

"Saya pasti lagu Puisi Hamba, Jiwa Setia dan Mencari akan memenuhi citarasa peminat saya yang membeli album ini. Sebab itulah saya bergabung dengan banyak nama-nama baru seperti Amir, Kerang dan Syed Naquib," katanya yang ditemui di majlis pelancaran Ella Greatest Hits di Bangkok Jazz, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menariknya kulit album Ella Greatest Hits juga mencerminkan keperibadian dan kehidupan Ella yang penuh warna-warni.

"Kulit album ini juga direka oleh orang baru iaitu Elen. Melihat rekaannya pada awal pertama kali, membuat saya terus jatuh cinta dan seperti melihat diri saya sendiri di dalamnya,"kata Ella.

Ella atau nama sebenarnya, Norzila Aminuddin, juga memberitahu bahawa dia kini dalam proses menyiapkan album studio terbarunya yang mana pembikinannya sudah pun dimulakan sebanyak 40 peratus.

"Namun kebanyakan lagu masih lagi raw dan saya masih lagi mencari beberapa lagu yang sesuai. Ia akan menjadi sebuah album yang berbeza dengan apa yang pernah saya ketengahkan sebelum ini. Secara dasarnya, konsepnya masih lagi berlandaskan genre muzik rock 'n' roll bersama pengaruh Janis Joplin. Malah saya turut menyertakan 1 atau 2 lagu ciptaan saya sendiri," katanya.

Tentang kolaborasi bersama artis-artis Indie baru yang sedang meningkat naik seperti Meet Uncle Hussein, Hujan, Estrella, Yuna dan sebagainya, Ella berkata, dia mengalu-alukan kehadiran mereka.

"Saya sendiri ada didatangi beberapa artis Indie baru tapi, masih terlalu awal untuk menceritakan tentang perkembangan seterusnya," kata Ella yang bakal mencecah usia 43 tahun pada 31 Julai ini nanti.

Menjawab soalan yang kerap kali disoal kepadanya, Ella tidak menafikan dia sedang enak dibuai cinta. Cuma dia enggan mendedahkan siapa jejaka yang kini bertakhta di hatinya.

"Ya, memang saya sekarang sudah ada seseorang yang cukup istimewa. Cukuplah dengan apa yang saya beritahu ini. Kalau nak tanya tentang perkahwinan, tunggu sajalah kad jemputan dari saya," katanya kepada dengan suara dan liuk tubuh yang tetap manja.

No comments:

Post a Comment