Wednesday, June 17, 2009

'Saya jujur dalam seni'

'Saya jujur dalam seni'


Source: Here
BERSTATUSKAN artis pada usia remaja iaitu 21 tahun, boleh dikatakan 'masih mentah' untuk mengenal erti hidup. Namun, disebabkan minat dan bakat dimiliki, akhirnya mengheret Norazila Aminuddin, 43, atau lebih popular dengan nama Ella ke kancah glamor.

Hanya berpaksikan muzik rock, siapa sangka wanita kental ini berjaya menempatkan dirinya sebaris artis terkenal era 80-an seperti Allahyarham Sudirman, Nassier Wahab, Zaiton Sameon dan Ramlah Ram. Bahkan, imej rock itu melayakkannya digelar 'Ratu Rock Malaysia'.

Sekalipun 'rock' itu melambangkan muzik berat, Ella tetap tampil anggun dengan fesyen bersesuaian irama muziknya. Lagak wanitanya tidak sedikitpun luntur walaupun ketika penampilan awal Ella, rock lebih dikuasai lelaki.

Bermula dengan menganggotai kumpulan The Boys, penyanyi yang dibesarkan di Klang, Selangor ini mengambil langkah berani untuk bergerak solo pada 1989. Ternyata, percaturan dilakukannya tepat apabila album solonya, Pengemis Kita yang menampilkan lagu Pengemis Cinta dan Permata Biru laku di pasaran.

Sejak itu, Ella mula digilai ramai hingga meraih peluang membuat persembahan di Jepun lebih 10 tahun lalu. Selain menyanyi, Ella juga bergelar pelakon. Tiga filem lakonannya, Bayangan Maut pada 1990 diikuti Pemburu Bayang (1992) dan Hanya Kawan (1997).

Sepanjang karier seninya, Ella turut mencatat beberapa sejarah peribadi. Antaranya penyanyi wanita Malaysia pertama mencatat jualan album paling tinggi sebanyak 350,000 unit, menjadi penyanyi Malaysia pertama merakamkan album penuh di Amerika Syarikat serta penyanyi pertama mengeluarkan Album Video di Malaysia iaitu Ella-Mood pada 1991.

Ella juga pernah memenangi anugerah Artis Wanita Paling Popular Berita Harian pada 1993 serta mengeluarkan Album Video Ella-Sebuah Dokumentari 30110 (1993). Tidak ketinggalan, dipilih menjadi 'role model' Yayasan Kebajikan Negara untuk mempromosikan pemikiran positif muda-mudi.

Pencapaian Ella turut tercatat dalam Malaysia Book of Records sebagai penyanyi wanita (penjualan album terbanyak pada 1998 dan dia juga menjadi artis tunggal Malaysia menyanyikan lagu tema Sukan Komanwel (1998), Standing In The Eyes Of The World.

Ikuti temu bual wartawan Harian Metro, NORHAYATI NORDIN (yati@hmetro.com.my) bersama Ella menyingkap suka dukanya bergelar anak seni serta persoalan mengenai hubungan cintanya.

SOALAN (S): Apakah yang membuatkan anda mampu bertahan selama 22 tahun dalam industri ini?

JAWAPAN (J): Mungkin kerana minat yang mendalam pada bidang nyanyian dan kejujuran saya. Dari mula menceburkan diri hingga kini, saya tidak pernah berasa jemu, letih dan berputus asa dengan apa yang dilakukan. Memang minat ini ikhlas yang datang daripada hati saya. Dalam soal ini, bila benar-benar ikhlas melakukannya, sesuatu kerja itu baru 'aura' akan lahir. Justeru, peminat pun boleh menerima dengan jujur. Sebab itu juga, seseorang artis perlu memberikan lagu, susunan muzik dan kulit album terbaik.

Bukan apa, secara tidak langsung ia bagus untuk peminat sentiasa ingat pada hasil kerja itu. Bila peminat sudah suka, saya yakin mereka tiada masalah untuk membelinya. Selain itu, saya turut berterima kasih kepada pihak media kerana sentiasa memberikan sokongan. Menerusi artikel mengenai diri saya yang ditulis wartawan di akhbar dan majalah termasuk laporan televisyen membantu peminat terus mengingati karier seni Ella. Malah, saya juga sangat bersyukur kepada Tuhan kerana semuanya berjalan lancar.

S: Tidak dinafikan irama 'rock' sebati dengan anda. Pernah terfikir hendak cuba genre muzik lain?

J:
Terus terang saya katakan, semua jenis genre muzik saya minat dan suka dengar. Cuma, 'rock' ini yang saya rasa paling sesuai dengan jiwa. Disebabkan itu, saya senang menyampaikannya kepada peminat dan mereka (peminat) pun sudah sinonim.

Setiap orang diberikan peluang untuk memilih dan saya ada hak untuk itu. Lagipun, ia kena dengan cita rasa dan saya pasti mahu memberikan yang terbaik buat peminat. Alhamdulillah, sehingga kini peminat terus ingat pada saya berteraskan muzik 'rock'.

S: Apakah pandangan anda mengenai perkembangan industri muzik tanah air sekarang?

J:
Biasalah ada yang baik dan buruk. Begitu juga ada yang positif dan negatif. Namun, macam saya katakan 'kejujuran' lebih penting. Bahkan, seiring dengan arus kemodenan sekarang, saya juga mendapati industri muzik tanah air banyak berubah.

Kemajuan dalam perniagaan begitu jelas ditonjolkan menerusi aktiviti muat turut lagu dan nada dering yang kini menjadi pilihan peminat. Boleh dikatakan perkembangan yang berlaku itu sememangnya mengikut 'trend' semasa dan permintaan masyarakat pendengar.

Oleh itu, jika mahu hasilkan album, buatlah bersungguh-sungguh. Kalau sekadar mahu kejar glamor atau untuk suka-suka, pada saya ia tindakan yang negatif. Situasi ini tidak baik untuk perkembangan industri seni kerana di sebalik kemodenan itu mesti ada 'keaslian'.

S: Kini pasaran album memang bermasalah, pada anda apakah kelemahan di sebalik itu?

J:
Apa yang saya tahu, masalah kelembapan pasaran album ini berlaku sejak tiga tahun lalu. Kemungkinan disebabkan tumpuan kini lebih fokus pada penjualan secara digital. Bagaimanapun, jualan album di kedai muzik masih lagi diterima ramai.

Malah, sudah menjadi resam sekiranya ada lagu bagus dimuatkan, album dihasilkan pun yang baik serta kulit album menarik pasti ia 'berkualiti'. Bila segalanya sempurna mengikut piawaian, saya fikir peminat yang menilai tidak ragu dan sanggup membeli.

Seperti penjualan album saya, setakat ini boleh dikatakan semuanya mencatat pencapaian yang bagus. Paling tidak diduga, album yang saya hasilkan sekitar 90-an berjaya meraih jualan tertinggi. Begitu juga dengan album dirakam pada era 2000, penjualannya sangat bagus.

Melihatkan keadaan itu, saya cukup seronok. Sekurang-kurangnya, saya sudah memberi yang terbaik buat peminat setia Ella selama ini. Ditambah dengan promosi dan publisiti yang diterima daripada pihak media menjadi pemacu kejayaan saya.

S: Pendapat anda mengenai gosip artis?

J:
Gosip dalam dunia hiburan perkara biasa. Apabila seseorang sudah mengambil keputusan menjadikan seni sebagai karier, perlulah bersedia menghadapi gosip. Cuma, gosip ini ada yang baik dan tidak kurang boleh menjatuhkan reputasi artis.

Memang tidak saya nafikan ada gosip yang membantu dan ada juga melampau. Tetapi, selagi tidak menyentuh soal peribadi secara serius dan mengguris hati keluarga, saya boleh terima serta menganggapnya sekadar 'usik-usik' dunia hiburan saja.

Sepanjang tempoh saya bergelar anak seni dari dulu hingga kini, gosip yang diterima biasa saja. Mungkin disebabkan saya sangat berhati-hati membawa diri sebagai artis. Apapun, saya berusaha menghindarkan diri daripada gosip kerana itu lebih baik.

S: Apakah anda pernah mengalami gosip paling teruk dalam karier?

J:
Ya, pernah sekali agaknya. Seingat saya dua tahun lalu (2007), apabila klip video lucah yang mengaitkan diri saya disebarkan dengan meluas di Internet. Ia adalah fitnah dan sangat mengaibkan saya. Apapun, sumpah saya tidak buat kerja terkutuk itu.

Justeru, saya harap tiada lagi gosip buruk seperti ini menimpa diri. Cukuplah sekali dan saya turut mengharapkan kerjasama media. Usahlah terlalu diuar-uarkan kerana artis dan media saling memerlukan. Ia umpama kerjasama dua hala.

S: Bagaimana pula dengan hubungan cinta?

J:
Ya, saya kini ada menyayangi seseorang. Namun, dia bukan individu di kalangan penggiat seni tetapi minatnya pada muzik sama seperti saya. Sebab itulah kami serasi agaknya dan siapa gerangan si dia 'biar menjadi rahsia'. Sampai masa, saya akan beritahu.

Buat masa ini, saya mahu lebih fokus kepada promosi album kompilasi Ella-The Greatest Hits terbitan EMI Records dan edaran Warner Music yang dipasarkan, baru-baru ini. Ia memuatkan 32 lagu termasuk tiga lagu baru dan penting bagi saya kerana sudah lama tidak hasilkan album.

Lagipun, album kompilasi ini mengimbau perjalanan seni saya selama 22 tahun ini. Bahkan, saya berharap adanya album ini dapat mengubat rindu peminat. Selain itu, saya kini turut merancang untuk menghasilkan album penuh terbaru.

S: Mengapa anda terlalu berahsia mengenai 'percintaan' kali ini? Apakah ada sesuatu yang disembunyikan?

J:
Saya hanya berahsia tetapi tidak berniat menyembunyikan apa-apa. Seperti saya jelaskan, sekarang bukan masa sesuai untuk berbicara soal ini. Ditambah lagi, saya masih ada keluarga dan perlu menjaga hati insan tersayang supaya tiada siapa yang terguris.

Malah, buat masa ini pun, saya tidak bersedia lagi untuk berkongsi cerita. Bahkan, saya sebenarnya menghormati kehendak si dia. Oleh itu, diharapkan rakan media memahami dan berilah saya peluang menyelesaikan urusan promosi album kompilasi ini lebih dulu.

S: Bila merancang berkahwin dengan si dia?

J:
Perancangan perkahwinan, belum buat apa-apa lagi kerana saya pun tidak tahu bila perkara itu (kahwin) akan berlaku. Justeru, sekarang biarlah kami berkasih dulu dan saya sangat percaya kalau sudah jodoh pasti tidak ke mana. Jadi, sama-samalah tunggu.

Sebagai manusia biasa, saya amat sedia maklum ajal, maut, jodoh dan pertemuan adalah ketentuan Tuhan. Sebab itu, sebelum tiba masanya, biarlah saya tidak mencanang apa-apa. Terus terang, soal jodoh ini saya senang serahkan segalanya pada Tuhan.

S: Harapan anda terhadap industri muzik tanah air?

J:
Saya harap ia lebih diperkukuhkan lagi. Dalam soal ini, saya sarankan supaya ada pihak sanggup bergandingan memperkukuhkan industri tanah air supaya nasib artis terbela. Terutama, bagi menghulurkan bantuan kepada anak seni yang memerlukan.

Bukan apa, saya sangat tersentuh hati apabila membaca dan melihat nasib yang menimpa artis apabila jatuh sakit. Justeru, terlalu sukar untuk mereka mendapatkan bantuan walaupun suatu ketika dulu pernah menabur bakti menghiburkan masyarakat.

No comments:

Post a Comment