Wednesday, June 17, 2009

Ella terguris dituduh lalok

Source: Here




GENIT orangnya. Rambut ikal panjang, raut wajah cantik dengan alis melentik dan senyum menawan. Kemudian Tuhan mengurniakan vokal dan bakat yang tiada dua padanya, menjadikan Norazila Aminuddin, 43, begitu tersendiri.

Sebaik saja tamat sekolah, karier glamornya bermula. Rutin kehidupan gadis remajanya menjadi melonjak lebih maju daripada remaja lain.

Beraksi di pentas, digilai banyak orang dan lebih daripada itu menjadi vokalis wanita rock pertama tanah air, Norazila atau nama komersialnya, Ella membikin empayar sendiri.

Waktu itu, 1980-an, era rock menguasai pasaran muzik. Rock sana-sini, dan Ella tidak ketinggalan lemas dalam virus yang merebak itu.

Dia menjadi vokalis kumpulan The Boys, sebelum mengambil langkah berani meninggalkan kumpulan tersebut pada penghujung 80-an dan bergerak solo.




"Saya sebenarnya dengar semua jenis muzik. Tapi tak tahu macam mana rock boleh jadi sebati dan begitu terpengaruh dengan muzik ini.

Mungkin era saya membesar, saya banyak mendengar muzik daripada Led Zeppelin, Search, Ramli Sarip, M. Nasir dan Allahyarham P. Ramlee. Semua muzik orang lelaki," katanya ketawa saat mengingat bagaimana dia boleh berkecimpung dengan dunia rock.

Bertitik tolak daripada keberaniannya muncul sebagai penyanyi rock wanita itu membuat dirinya tersendiri. Satu persatu album studionya laris di pasaran.

Bermula dengan Sepi Sekuntum Mawar diikuti Puteri Kota, Ella perlahan-lahan membina empayarnya sendiri. Lontaran vokalnya yang memukau dan imej rock diselarikan bagi memasarkan dirinya sebagai vokalis rock wanita tunggal pada ketika itu.

Malah sehingga selepas 25 tahun Ella masih kukuh di hati peminat. Baru sahaja dia meluncurkan album kompilasi The Greatest Hits yang menghimpunkan lebih 30 buah lagu daripada album-album miliknya dicampur tiga buah lagu baru termasuk single yang sedang hangat, Puisi Hamba.


ELLA kini bercinta dengan seorang jejaka di luar bidang muzik.


Lalu sempena mengenang kariernya sepanjang lebih dua dekad, saya ajak Ella berbicara tentang hitam dan putih dunia yang dilaluinya. Kata Ella, pada awalnya dia sendiri tidak menyangka mampu menjadi penyanyi.

"Saya tak percaya diri dan agak pemalu. Tapi banyak kawan, famili dan orang macam M. Nasir serta Abang Lord dari The Boys cakap saya boleh menyanyi, maka saya beranikan diri menyanyi.

"Dan hari ini saya masih di sini, menyanyi. Saya melakukan hal yang saya suka," katanya yang pernah membuat persembahan di Jepun lebih 10 tahun lalu.

Malu tengok gambar lama

Dia ketawa besar bila kami menyentuh tentang imejnya. Ranggi dan rock serta kening tebalnya mekar dalam ingatan. "Bila tengok gambar lama-lama tu, saya ketawa dan malu. Macam ni aku dulu-dulu," katanya yang bagaimanapun mengaku suka bereksperimentasi dalam berfesyen.

Kemudian kakak merangkap pengurusnya yang setia dan begitu memahami adiknya, Jojie, menerangkan bahawa jika bukan penyanyi, Ella bercita-cita menjadi guru.

Katanya sambil mengajuk gaya manja Ella menyisir rambut: "Dia nak jadi cikgu sebenarnya. Tapi saya fikir, habislah anak murid dia jadi macam dia. Cakap manja-manja dan asyik main rambut."


ELLA bersama anggota band yang akan mengiringi setiap persembahannya.


Kami kemudian ketawa berderai. Ella kembali fokus. Bercerita tentang penglibatan awalnya dulu. Tentang bagaimana dia menghabiskan duit dan menjadi 'rock star' pada usia muda.

"Jujur, sebenarnya saya tak pernah rasa saya terkenal. Jadi saya jalani saja kehidupan dengan normal. Tapi saya akui, memang mula-mula dikenali saya jadi lost. Malu sangat, tapi lama-lama saya terbiasa," dia senyum sebelum menyambung: "Tentang duit pula, saya tak habiskan dengan benda merepek.

"Sebaliknya saya bagi pada mak dan famili. Agaknya sebab itu kerjaya saya berkat sehingga hari ini. Berkat doa mak dan famili."

Mencari titik gelap dan terang dalam kariernya lewat 25 tahun lalu, kata Ella banyak yang positif berbanding negatif. Dia akui, bersyukur dengan perjalanan yang dilaluinya sekarang.

Sejak mula menjadi penyanyi dia hampir tidak pernah mempunyai hasrat untuk berhenti menyanyi. Dia berpuas hati dengan hampir semua projek dari segi album serta konsert atau semua hal yang diatur rekod label yang dinaunginya.

Biar mengakui ada beberapa album yang tidak begitu bertepatan dengan jiwanya, namun siapalah dia untuk menuding jari. "Lagipun saya percaya dengan konsep kompromi biarpun saya akui, saya memang cerewet dalam penghasilan muzik.

"Jadi tak adil untuk saya cakap tentang album yang tidak begitu tepat dengan jiwa saya kerana album-album tersebut juga mempunyai pasaran dan terjual dengan banyak.


BERSAMA ibu kesayangannya, Yang Asmah Long yang banyak menyuntik semangat.


"Apa yang penting peminat saya sukakannya," ulas Ella yang menyimpulkan album 30110 yang dilahirkan pada tahun 1992 adalah cermin jiwanya yang sebenar.

Video lucah: "Sumpah saya tak buat"

Sesekali disepak terajang gosip dan fitnah, kata Ella juga lumrah. Mengapa perlu melenting jika tidak melakukan hal yang salah.

"Cuma saya rasa dituduh lalok dan ada video lucah adalah perkara yang paling buruk sepanjang karier saya. Sumpah, saya tak buat perkara itu.

"Saya sangat susah untuk marah pada hal-hal kecil kerana saya percaya ini adalah sebahagian daripada lumrah seni. Kalau artis lain boleh bersabar, umpamanya artis luar negara atau ikon saya seperti Madonna boleh bertahan, kenapa tidak saya?

"Tapi jangan sampai membuat hati ibu saya terguris. Itu saya kurang gemar bila ibu sudah terguris dan lagi pertuduhan tersebut memang tidak masuk akal langsung," nafinya keras.


ELLA bersama bekas kekasihnya, Rizal pada tahun 2002.


Kata Ella biar muzik berpaksi rock, tidak semestinya sikap juga menjadi liar. Muzik tidak pernah merubah sifat asalnya yang tahu batasan dan membezakan mana putih dan mana buruk. Maka hal seperti lalok dan video lucah adalah sangat tabu bagi dirinya.

Mahu jadi separuh Madonna

Kemashyuran sudah dikecapi. Wang ringgit juga bukan lagi isu buatnya. Dicongak semua kehidupan seorang Ella, semuanya serba sempurna.

Tapi kata Ella dia tidak pernah menganggap hidupnya sudah sempurna kerana ada impian yang belum terlaksana.

"Saya bersyukur dengan rezeki yang Tuhan beri kepada saya. Tapi saya tak kata karier saya sempurna lagi kerana saya belum dapat menjadi separuh daripada Madonna.

"Maksud saya, saya sebenarnya mahu menjadi legenda seperti dia yang konsertnya masih laris, albumnya laku dan dirinya sendiri menjadi ikon. Itu hal yang saya rasa saya masih gagal capai lagi," kata si peminat fesyen ini.

Oh, itu tentang kerjaya. Bagaimana dengan kehidupan peribadi. Berkahwin?

Bukan sesuatu yang asing Ella dikaitkan dengan lelaki. Malah sebelum ini dia sempat digosip bercinta dengan lawan mainnya dalam filem Hanya Kawan, Hans Isaac sebelum buat pertama kalinya menayangkan wajah bekas kekasihnya, Rizal pada tahun 2002. Selepas putus dengan Rizal, ratu rock ini senang menyimpan kisah cintanya hanya untuk diri sendiri.

Dia senyum dan memang mengelak untuk bercakap tentang rencana bernikah. Pada usia 43 tahun, kata Ella dia enggan bercakap tentang impian perkahwinan, tema atau segala mimpi yang dikhuatiri tidak menjadi kenyataan.


REVOLUSI fesyen Ella sejak zaman The Boys sehingga kini selalu menjadi ikutan. Yang pasti, biar tampil ranggi, dia tetap kelihatan menawan.


Memang manusia perlu bermimpi kerana daripada mimpi ia menjadi realiti. "Tapi kalau boleh saya mahu ia terus terjadi begitu sahaja. Saya tak mahu cakap soal kahwin. Nanti banyak yang salah anggap dan ternanti-nanti.

"Tapi saya tak mahu berbohong. Memang sekarang saya sedang berjumpa seseorang dan meyayanginya. Dia bukan orang seni, tapi cukup memahami," katanya bersungguh memohon ruang dan pengertian.

Ditanya adakah kerana dia sudah terlalu selesa hidup solo atau takutkan impak negatif perkahwinan, Ella mengangguk sedikit sebelum kembali berbicara.

Katanya: "Saya bukan takut nak lepaskan zaman solo, tapi barangkali mungkin sebab sudah terbiasa dan selesa hidup solo. Jadi tak dapat nak bayangkan macam mana kalau hidup berdua. Tapi kadang-kadang sunyi juga hidup solo dan saya perlukan teman."

Tentang impak negatif perkahwinan, kata Ella dia tidak terlalu terkesan kerana pada hemat wanita ini, dia percaya setiap perjalanan hidup manusia tidak sama dan segala yang terjadi mengandungi sejuta hikmah. Lalu dia enggan menghakimi masa depan yang belum dilaluinya lagi.

Lantas apa yang Ella ingini saat ini? Pantas dia menjawab ringkas: "Bukan wang ringgit atau kemewahan, tapi mahu kebahagiaan yang berkekalan. Doakan saya terus bahagia ya."

No comments:

Post a Comment