Sunday, August 16, 2009

(◕‿◕✿) GeGar GeGar

Source HERE

Ella Sedia Gegar Mist Club 16 Ogos!




Teks oleh Haswari Ali


KUALA LUMPUR, 10 OGOS 2009:
Selepas sekian lama tidak muncul dengan sebarang persembahan solo, Ratu Rock Malaysia, Ella bakal menggegarkan pentas Mist Club, Jalan Riong, Bangsar sempena mini konsert penyanyi berkenaan pada Ahad ini, 16 Ogos, mulai jam 8 malam.

Persembahan yang dibawakan oleh kamera Canon PowerShot itu, menampilkan Ella dengan variasi lagu-lagu terhebatnya ketika menaungi EMI Malaysia dan Warner Music Malaysia serentak menerusi album terkini penyanyi legenda berkenaan, The Greatest Hits Ella.

Antara lagu evergreen yang bakal dinyanyi oleh Ella seperti Layar Impian, Permata Biru, Gemilang, Pengemis Cinta, Kesal, Sepi Sekuntum Mawar Merah, Cinta Selembut Sutera, Kasih dan Esok, Lusa Selamanya termasuk yang terbaru seperti Puisi Hamba dan Rama-Rama.

Yang menarik, peminat setia Ella boleh menghadiri parti rock berkenaan dengan hanya membawa kamera jenama Canon di mana-mana cawangan Canon Concept Store di sekitar Lembang Klang untuk memenangi 4 tiket percuma ke persembahan itu.

Sementara bagi mereka yang bukan pengguna Canon, 2 tiket percuma akan diberikan kepada anda dengan penukaran keratan iklan khas menerusi akhbar-akhbar utama tenpatan di mana-mana cawangan Canon Concept Store.

Dapatkan tiket percuma di cawangan Canon Concept Store di Suria KLCC, Mid Valley Megamall, Sunway Pyramid, Pavilion KL, The Curve, Low Yat Plaza dan 1 Utama sejak 8 Ogos lalu.

Menghangatkan lagi persembahan Ella, turut diadakan kempen PowerShot Power Sale yang memberi peluang kepada orang ramai untuk membeli kamera terbaru Canon dengan harga paling berpatutan. Ella dan Canon memang rock!


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Source Here..

Ella Bercerita Tentang Konsert

by Miss Ayu | 12 Aug 2009

Pasti sudah ramai yang merindui persembahan Ratu Rock, Ella yang penuh bertenaga bukan? Maklumlah, sudah agak lama Ella tidak mengadakan konsert untuk peminat yang sentiasa dahagakan persembahan daripadanya. Tidak mengapa, kerinduan anda bakal terubat kerana Ella bakal beraksi untuk mini konsertnya pada 16 Ogos ini. Mini konsert yang dinamakan ‘People & Places With PowerShot Promo Tour’ ini akan berlangsung di Mist Club, Bangsar pada jam 8 malam.

Mini konsert ini diadakan sebagai salah satu cara untuk mempromosikan album kompilasinya, ‘Ella – Greatest Hits’ yang dilancarkan pada Jun lalu. Dalam masa yang sama, Ella juga akan mempromosikan produk Canon PowerShot memandangkan konsert itu ditaja oleh Canon Marketing Malaysia.


Sebab itulah konsert ini diadakan secara percuma dan yang paling penting, pemilik produk Canon PowerShot boleh menebus sehingga empat tiket untuk menonton konsert ini berbanding dengan orang lain yang terhad kepada dua tiket.

Hendak tahu apa yang menanti anda pada malam konsert tersebut? Menurut Ella yang ditemui di ibu pejabat Canon kelmarin, dia akan berikan sesuatu yang cukup istimewa untuk peminatnya yang berada di luar sana.

“Ella tidak mahu janjikan apa-apa kepada mereka tetapi sesuatu yang istimewa akan berlaku di konsert ini. Ella akan menyanyikan kira-kira 15 buah lagu yang terdiri daripada tiga lagu terbaru Ella iaitu “Puisi Hamba”, “Jiwa Setia” dan “Mencari” serta lagu-lagu yang dipetik daripada album-album Ella yang terdahulu,” ujar Ella yang melihat konsert ini sebagai hadiah harijadinya yang cukup bermakna.

“Pada mulanya konsert ini memang hendak diadakan pada tarikh harijadi Ella iaitu 31 Julai baru-baru ini, tetapi pada saat-saat akhir ia terpaksa ditunda kerana Ella ada komitmen lain dan ada sedikit masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan. Tetapi, Alhamdulillah semua masalah telah selesai dan Ella harap mini konsert pada Ahad ini dapat menghiburkan semua peminat yang hadir.

Untuk konsert kali ini, Ella akan tampilkan pemuzik yang bergerak secara indie. Bukan nama-nama besar yang sudah cukup dikenali.

“Bukan kerana tidak mahu berkerjasama dengan mereka ini, tetapi sebelum ini Ella sudah pernah mengadakan konsert bersama mereka contohnya seperti Hillary dan Man Kidal. Jadi, Ella tidak mahu tampilkan benda yang sama. Dengan menggunakan khidmat mereka yang baru ini, Ella percaya kelainan akan tercipta. Ella mahu peminat terpesona dan mengingati konsert Ella itu nanti,” jelas Ella yang akan berduet dengan adiknya, Korie menerusi lagu “Pergilah Sayang” Ahad ini.

Menyentuh tentang kerjasamanya dengan Canon, Ella memberitahu ianya sudah terjalin sejak 13 tahun yang lalu apabila dia dilantik sebagai duta produk kalkulator Canon.

“Mungkin kerana ada keserasian di antara kami sebab itulah Ella terus bersetuju apabila Canon menghubungi untuk kerjasama terbaru ini. Mengikut perancangan, selepas konsert di Kuala Lumpur ini Ella juga bakal menjelajah ke beberapa destinasi lain di seluruh negara. Buat masa ini Ella dan Canon belum putuskan mana-mana destinasi seterusnya, tetapi sudah tentu kami akan pilih tempat yang banyak permintaan.

“Mungkin Pulau Pinang, Johor Bharu atau Kuantan. Paling penting, selepas Raya nanti Ella akan ke Tokyo untuk melawat kilang Canon di sana dan selepas lawatan itu Ella akan turut mengadakan mini konsert di sana. Tempatnya belum pasti, pihak Canon yang akan aturkan,”cerita Ella penuh teruja.

Bukan Reka Cerita
Menyentuh soal kekasih hati, Ratu Rock yang sudah berusia 43 tahun ini masih bermain teka-teki dengan pihak media. Setiap kali muncul dengan album baru pasti dia akan ditanya tentang percintaannya. Bagai yang dijangka pasti Ella akan bercerita tentang kekasih hatinya walaupun tidak mahu memperkenalkan secara terang-terangan.

Perilaku Ella ini menimbulkan tanda tanya di kalangan beberapa media memandangkan sehingga kini dia masih sendiri. Ke mana menghilangnya semua kekasih hatinya? Adakah benar Ella mempunyai kekasih hati atau cerita-ceritanya itu hanya rekaan semata-mata?

Persoalan ini dijawab dengan tenang oleh Ella. Menurutnya, dia tidak mereka-reka cerita tentang kekasih hatinya itu. Memang benar dia ada bercinta, cuma perhubungannya tidak berpanjangan.

“Ella tidak pernah mereka-reka cerita tentang kekasih ini. Buat apa Ella hendak lakukan semua itu? Memang sehingga kini Ella masih solo, tapi apakan daya Ella, semua percintaan Ella sebelum ini tidak bertahan lama. Ada sahaja masalah yang timbul. Ada yang tidak memahami karier Ella dan ada juga yang terlalu cemburu buta.

“Pendek kata, Ella belum menemui insan yang betul-betul boleh menerima Ella seadanya. Kalau sudah sampai jodoh, pasti Ella akan mendirikan rumahtangga. Siapa yang tidak mahukan keluarga? Tetapi soal jodoh ini Allah yang tentukan,” akhiri Ella yang mengakui yang dia tidak pernah serik untuk bercinta.

Dapatkan tiket percuma
Berita baik kepada semua member GUA di luar sana. Anda berpeluang merebut tiket-tiket percuma untuk menyaksikan Ella di Mist Club, Bangar pada jam 8 malam, 16 Ogos ini. Canon Marketing Malaysia telah berbesar hati memperuntukkan 50 tiket percuma untuk anda.

Apa yang perlu anda lakukan ialah hantarkan nama penuh, nombor kad pengenalan dan nombor telefon anda ke rahayu_311@yahoo.com sebelum 14 Ogos. Ini adalah berdasarkan prinsip siapa cepat dia dapat. Setiap seorang hanya layak mendapat dua tiket dan mereka yang berjaya akan dihubungi semula bagi menebus tiket di pintu masuk Mist Club, Jalan Liku Bangsar pada jam 7 malam 16 Ogos ini. Perlu diingatkan, hanya mereka yang mempunyai nama sahaja layak untuk menebus tiket.

No comments:

Post a Comment